ADAT
DALAM MASYARAKAT MALAYSIA DAN KEPENTINGANNYA
Masyarakat Melayu
Adat
secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup. Ianya
mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun
musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Itu ialah perkara yang selalu
difahami khalayak berkenaan dengan adat. Suatu perkataan yang sinonim dengan
adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya ia berbeza, tetapi dari segi
pengertiannya, ia adalah konsep yang saling bergantung dan sama.
Adat
seperti yang didefinisikan tadi ialah cara hidup iaitu tingkah laku,
kepercayaan dan sebagainya. Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia
timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan.
Apabila ianya dizahirkan dan dapat dilihat perlaksanaanya, misalnya kita
melihat adat bercukur, adat bersanding dan sebagainya, itu sudah menjadi suatu
budaya. Maknanya, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat
sesuatu masyarakat itu.
Kerana
dua entiti ini terlalu berkait sifatnya, kita pada hari ini selesa menjadikan
adat dan budaya itu sebagai satu benda yang sama. Yang berbeza cuma cara sebutannya.
Budaya yang difahami dan dilihat, hakikatnya ialah adat. Budaya bersifat tidak
tetap iaitu boleh berubah, Justeru wujud pengkelasan budaya tradisional dan
budaya moden, ini menunjukkan budaya lama dan budaya hari ini tidak sama, maka
ia jelaslah boleh berubah. Adat pula ialah suatu ketetapan yang tidak boleh
berubah, oleh itu bolehlah kita katakan adat sebagai budaya yang asal.
Justeru
dalam membicarakan kepentingan adat dalam membentuk budaya Malaysia pada hari
ini, kita akan membicarakan tentang kepentingan budaya asal yang diubah untuk
dijadikan budaya bersama rakyat Malaysia bagi mewujudkan identiti dan peribadi
rakyat majmuk yang bersifat seragam.
Masyarakat
Malaysia ialah suatu masyarakat yang bersifat majmuk dan pelbagai. Ia juga
disebut sebagai masyarakat Jawi iaitu masyarakat yang bercampur dari pelbagai
latar belakang. Kerana masyarakat Malaysia itu masyarakat Jawi, iaitu yang
pelbagai latar belakangnya, maka setiap bangsa atau ras didalam sistem sosial
Malaysia pastinya berbeza satu sama lain dari segi latar belakangnya. Tidak
terkecuali berbeza dari segi adat dan budaya.
Adat
bagi setiap kaum di Malaysia pastinya dilihat dari sistem nilai yang berbeza.
Martabat adat itu sendiri berbeza kedudukanya bagi masyarakat Malaysia pada
hari ini. Bagi masyarakat Minangkabau sebagai contoh, adat dianggap sebagai
sebuah tradisi lisan yang tinggi sekali martabatnya dalam kehidupan mereka.
Adat dalam konteks Minangkabau bukan sekadar cara bersanding, cara menyantap
hidangan makanan, cara pertabalan Luak dan sebagainya, tetapi adat ialah suatu
peraturan hidup yang perlu dipegang kuat oleh generasi mereka sehingga ke hari
ini. Justeru tidak hairanlah jika didalam masyarakat mereka wujud
istilah-istilah seperti “undang-undang adat”, “mahkamah adat”, “ketua adat” dan
sebagainya. Begitu juga dengan lain-lain kaum di Malaysia, aspek adat masih
lagi dianggap sebagai suatu pengungkap identiti bangsa dan terus dipertahankan
walaupun ia sudah banyak berubah jika dibandingkan dengan perlaksanaanya suatu
ketika dahulu.
Dalam
membicarakan fokus esei ini iaitu kepentingan aspek adat yang menjadi penyatu
bagi mewujudkan peribadi dan identiti kebangsaan, kita seharusnya mengetahui
dahulu berkenaan aspek adat yang menjadi identiti masyarakat yang pelbagai di
Malaysia. Bagi maksud itu, didalam bahagian ini kita akan melihat aspek adat
yang mencerminkan identiti tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan
India.
Masyarakat
Melayu ialah masyarakat asal di Tanah Melayu. Walaupun ada sesetengah sejarawan
khususnya sejarawan Barat era kolonial mendakwa masyarakat Melayu juga
masyarakat pendatang, namun ianya dapat dinafikan dengan mengetengahkan konsep
merantau yang menjadi amalan masyarakat Melayu di Nusantara ketika itu.
Bercakap
berkenaan adat didalam masyarakat Melayu, ramai sarjana mengatakan bahawa adat
Melayu merupakan adat jawi iaitu adat yang bercampur. Ini sesuai dengan
pemahaman kita berkenaan proses pembentukan Melayu itu sendiri yang merupakan
cantuman ras-ras kecil yang beragama Islam, maka wujudlah apa yang dipanggil
Melayu itu. Ini menunjukkan pelbagai percampuran dalam pembinaan adat Melayu.
Dalam soal pembinaan adat Melayu, kita dapat melihat tiga bentuk pengaruh yang
besar dalam proses pembinaan adat Melayu. Pertamanya ialah adat yang
dipengaruhi adat Hindu dan Buddha, yang kedua ialah adat yang dipengaruhi zaman
Hindu/Buddha dan Islam, yang ketiga ialah adat yang berteraskan Islam.
Adat
Melayu yang awal dipengaruhi oleh unsur-unsur Hindu dan Buddha yang diperolehi
melalui kitab-kitab lama seperti Rayamana dan Mahabrata. Ketika adat ini
diamalkan, Islam masih belum sampai ke Nusantara. Ada diantara adat-adat dalam
period Hindu dan Buddha ini masih diamalkan sehingga ke hari ini. Pastinya kita
pernah melihat upacara persandingan didalam majlis-majlis perkahwinan
masyarakat Melayu. Ini merupakan salah satu contoh adat-adat Hindu yang ditiru
oleh masyarakat Melayu dahulu.
Pemujaan
Raja secara melebih-lebih dalam masyarakat Melayu suatu ketika dahulu juga
merupakan cerminan kepada pengaruh Hindu Dan Buddha dalam masyarakat Melayu
bahkan perkataan “Raja” itu sendiri pun sudah memperlihatkan pengaruh Hindu
yang tebal. Begitu juga dari aspek pertabalan dan adat istiadat Istana Melayu,
terlihat lagi kekuatan unsur Hindu dan Buddha dalam mencorakkan adat Melayu
itu.
Period
atau peringkat yang kedua ialah pengaruh unsur campuran Hindu/Buddha dan Islam.
Pada zaman ini Islam sudah datang ke Nusantara dan majoriti orang Melayu pun
sudah beragama Islam. Namun pengaruh adat lama yang berteraskan Hindu dan
Buddha masih diamalkan. Justeru zaman ini digelar zaman campuran adat
Hindu/Buddha dan Islam dalam masyarakat Melayu. Pada zaman ini, walaupun
masyarakat Melayu sudah Islam, namun mereka mengamalkan adat-adat yang dianggap
menyimpang dari ajaran Islam. Sebagai contoh masyarakat Melayu mengamalkan adat
mandi Safar yang dianggap sebagai suatu usaha untuk membuang sial bulan Safar
dalam kehidupan mereka. Ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang
menganggap perbuatan itu sebagai khurafat. Begitu juga adat puja kampung, puja
pantai dan sebagainya. Ia jelas bertentangan dengan Islam, tetapi tetap
diamalkan dengan meluas didalam masyarakat Melayu yang masih tebal dengan
pengaruh Hindu dan Buddha ketika itu.
Pengaruh
unsur luar yang ketiga didalam masyarakat Melayu ialah pengaruh Islam iaitu
pengaruh yang paling kuat sekali dalam kebudayaan dan adat Melayu. Bagi
masyarakat Melayu, adat ialah kepatuhan yang kedua selepas agama mereka iaitu
Islam. Kepatuhan kuat orang Melayu kepada agama Islam diakui oleh Prof. Syed
Naquib Al-Attas yang mengatakan Islam telah mentamadunkan masyarakat Melayu.
Perlembagaan Malaysia sendiri telah mendefinisikan Melayu sebagai mereka yang
beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Ini
menunjukkan betapa kuatnya Islam didalam hidup orang Melayu.
Apa
yang ingin dijelaskan disini ialah betapa pentingnya agama Islam kepada orang
Melayu. Kerana kepentingan itu, pada zaman pengaruh Islam yang kuat ini,
masyarakat Melayu menjadikan Islam sebagai teras kepada pembentukan adatnya.
Adat-adat yang bertentangan dengan ajaran Islam semakin tidak popular dalam
kalangan masyarakat Melayu dan semakin dikurangkan penggunaanya. Namun pada
zaman Islam ini, adat-adat lampau yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam
tetap diteruskan pengamalanya.
Adat-adat
Melayu yang bercirikan Islam merangkumi adat ketika seseorang dilahirkan,
seseorang meningkat remaja, dewasa, adat dalam kehidupan sehari-hari dan adat
ketika seseorang itu meninggal dunia. Adat-adat yang diamalkan ini sebenarnya
merupakan apa yang disebut sebagai perkara sunat didalam ajaran Islam.
Sebagai
petunjuk kepada pengaruh Islam didalam adat Melayu ialah adat ketika seseorang
itu baru dilahirkan. Antaranya ialah adat bercukur, melaungkan azan dan iqamat
ke telinga bayi dan adat membelah mulut. Bercukur ialah perbuatan mencukur
rambut asal bayi sehingga botak, ianya biasa diadakan pada hari-hari ganjil
seperti hari ketiga, ketujuh, kesembilan dan seterusnya. Bercukur bertujuan
membuang rambut asal bayi yang dianggap kotor dan tidak akan tumbuh dengan
baik. Ia sesuai dengan ajaran Islam yang mementingkan aspek kebersihan dan
kesihatan.
Azan
dan Iqamat pula merupakan tuntutan Islam untuk memulakan pendengaran seseorang
yang baru dilahirkan itu dengan kalimat-kalimat yang mulia. Ada juga golongan
tua Melayu mengatakan ianya merupakan simbolik kepada singkatnya hidup didunia
ini iaitu sesingkat masa yang diambil antara iqamat dan solat yang akan
didirikan. Ketika dilahirkan kita diazan dan diiqamatkan, dan apabila kita
meninggal dunia, kita disolatkan dengan solat jenazah.
Adat
membelah mulut pula menjadi tradisi masyarakat Melayu dengan melalukan manisan
ke bibir bayi yang baru dilahirkan. Adakalanya juga digunakan emas bagi maksud
itu. Adat membelah mulut ini biasanya dilaksanakan oleh orang-orang yang
dianggap alim oleh masyarakat. Ada masa-masanya, ia juga dilakukan oleh bidan
yang menyambut kelahiran bayi itu. Ia bertujuan supaya bayi yang dibelah
mulutnya akan mengikut perangai orang yang membelah mulutnya apabila sudah
dewasa nanti.
No comments:
Post a Comment