Saturday, 1 February 2014

ADAT MASYARAKAT CINA



Masyarakat Cina di Malaysia juga seperti masyarakat-masyarakat lain yang mempunyai adat dan cara hidupnya sendiri. Secara teorinya, dapat kita katakan bahawa adat kaum Cina di Malaysia ialah warisan daripada negara China. Ini memandangkan berlaku proses kemasukan besar-besaran kaum Cina ke Tanah Melayu pada awal abad ke 19 dahulu, kemasukan kaum Cina ke Tanah Melayu ketika itu secara tidak langsung telah membawa sekali segala adat istiadat mereka.
Kaum Cina di Malaysia mempunyai beberapa pegangan dalam menjalankan proses kehidupan mereka, seperti juga lain-lain kaum, masyarakat Cina juga mempunyai adat tentang perkahwinan, kematian, dan sebagainya. Apa yang menarik berkenaan adat kaum Cina ialah suatu bentuk adat dan petua untuk kehidupan yang mereka namakan “Feng Shui”, yang mana pengaruhnya masih menebal dalam kalangan mereka pada hari ini. Lazimnya adat istiadat Cina dipengaruhi oleh unsur Buddha yang menjadi pegangan kebanyakan ahli dalam masyarakat Cina. Falsafah lampau juga banyak mempengaruhi adat istiadat Cina sehingga menyebabkan mereka mempunyai pelbagai acara-acara dan pantang larang yang berorientasikan adat.
Seperti juga masyarakat majoriti Melayu dan Islam, masyarakat Cina juga mementingkan nasab keluarga dari sebelah lelaki. Nama pangkal seseorang iaitu nama keluarga didalam masyarakat Cina ialah nama keluarga disebelah lelaki. Sebagai contoh, nama Prof. Dr. Teo Kok Seong dan Prof. Wang Gunwu, nama pangkal mereka iaitu Teo dan Wang itu ialah nama warisan keluarga ayah mereka yakni nama keluarga sebelah lelaki. Ini merupakan salah satu aspek adat yang menjadi amalan masyarakat Cina. Kaum lelaki Cina juga seperti kebanyakan lelaki bangsa lain, dilantik menjadi ketua keluarrga dan merupakan waris utama pusaka keluarga.
Kepentingan meneruskan kesinambungan keluarga didalam masyarakat Cina menyebabkan perkahwinan seorang lelaki didalam keluarga adalah amat penting. Secara tradisi, perkahwinan tersebut akan mengikuti beberapa upacara yang bermula dengan merisik oleh seorang perantara hinggalah perkahwinan. Namun, pada zaman yang lebih moden ini, hanya pendaftaran menurut undang-undang saja yang diperlukan dan akan diadakan majlis keraian yang mewah di restoran.
Kelahiran anak mengikut adat dan pantang larang Cina ialah sangat penting. Justeru kesihatan si ibu dan kandunganya adalah amat dititik beratkan. Si ibu digalakkan tidur dan makan dengan baik, membaca buku yang baik dan melihat benda-benda yang cantik. Apabila anak itu dilahirkan, anak itu dibersihkan dan akan dibedung. Pada hari ke 29 kelahiran, rambut si anak dicukur dan rambutnya dibungkus dengan kain merah. Rambut itu akan digantung berdekatan bantalnya selama 100 hari dan kemudian rambut itu dibuang ke sungai. Anak itu diharap akan menjadi berani pada masa hayatnya. Setelah sebulan kelahiran anak itu, upacara Bulan Penuh akan diadakan dengan meriah. Ulang tahun kelahiran seseorang kaun Cina tidak akan diperingati, kecuali diperingati oleh anaknya apabila seseorang itu sudah tua dan ianya akan diadakan secara besar-besaran.
Kematian ibu bapa dalam masyarakat Cina adalah upacara yang amat berharga dan mahal kosnya yang terpaksa ditanggung oleh anak-anak. Keranda yang baik, tanah kuburan yang baik dan pakaian kematian yang bagus pastinya memerlukan belanja besar. Bagi masyarakat Cina inilah hadiah terbaik seorang anak kepada ibu bapanya. Jika si anak tidak mampu, masyarakat sekeliling pasti akan membantu. Anak lelaki yang tua memainkan peranan utama memastikan upacara mandi, memberi makan, kafan dan bertanggungjawab memasukkan mayat ke dalam keranda seperti yang dinasihatkan oleh seorang tukang tilik. Keranda tersebut akan dijaga hingga beberapa hari tertentu untuk lawatan dan sembahyang seterusnya akan dikebumikan pada satu hari yang ganjil.
Didalam masyarakat Cina, upacara pengkebumian adalah acara yang amat meriah dengan dipenuhi dengan peraturan dan adat tertentu. Selepas pengkebumian mayat, akan diadakan pelbagai upacara lain terutama adat pembakaran colok dan alatan yang diperbuat daripada kertas sebagai bekalan hidup si mati di alam akhirat. Upacara ini biasanya akan diketuai oleh seorang Sami yang diamanahkan oleh keluarga si mati. Oleh kerana adat kematian ini dianggap terlalu penting dalam masyarakat Cina, banyak kepercayaan dan pantang larang mesti diperhatikan dan dipatuhi apabila berlaku sesuatu kematian.
Sepanjang tahun dalam kehidupan masyarakat Cina, banyak sekali perayaan yang diikuti dan diraikan oleh orang Cina. Setiap bulan, pasti ada kegiatan dan upacara tertentu serta dewanya yang berlainan untuk dipuja. Adat resam masyarakat Cina amat banyak dan ianya akan diamalkan mengikut perubahan musim pertanian dan negeri China.

Antara upacara-upacara yang diraikan masyarakat Cina selain dari Tahun Baru Cina dan Chap Goh Meh ialah adat Ulang Tahun Kematian, adat Puja Kampung, adat Mencuci Kubur, Sembahyang Hajat dan Menjamu Keramat. Adat-adat ini tampak seumpama perbuatan-perbuatan yang menjadi amalan masyarakat Melayu. Namun ianya pastilah berbeza dan dijalankan dengan cara dan matlamat yang berbeza bagi mewujudkan identiti masyarakat Cina yang tersendiri.

No comments:

Post a Comment